Jumaat, 14 Jun 2013

Gunung Bromo

31 Okt 1994, Perjalanan dari Terminal Bas Bayuangga, Probolinggo mendaki pergunungan Bromo dengan menaiki Angkotan (van) mengambil masa 2 jam, kalau dari segi jaraknya lebih kurang 56km sahaja.



Dalam perjalanan kami melalui kawasan pertanian jagung dan sayur2an, tapi sekarang musim kemarau, pohon2 kelihatan kekuningan.


Semakin tinggi kami mendaki semakin dingin udaranya. Hotel Bromo Permai yang kami tujui terletak dalam kawasan Taman Nasional Bromo-Tengger-Semeru. Untuk memasuki Taman Negara ini kami dikenakan bayaran Rp 2,100 seorang.


Hotel Bromo Permai 1:

Kami sampai di Hotel Bromo Permai  jam 11.45 pagi. Setelah urusan check in, kami makan tengahari di restoran hotel, kami order toast kerana itulah satu2nya makanan yang kami yakin halal.  Hotel Bromo Permai 1 merupakan sebuah hotel bertaraf sederhana tetapi berada dilokasi yang amat strategik kerana pemandangannya  mengadap kawah Bromo. Kamar kami merupakan sebuah chalet kecil tetapi bersih, kelengkapan bilik terlalu basic, namun mempunyai shower air panas. Hotel ini memadai untuk penginapan yang singkat semata2 untuk mengunjungi Bromo.



Setelah berehat sebentar di bilik, kami keluar bersiar2 sambil menikmati pemandangan alam Bromo yang sungguh menakjubkan. Kami menemui dua deret kedai yang menjual cenderamata, barang2 runcit dan pakaian panas. Disebabkan kesejukan saya beli topi, sarung kaki, kain selimut (kain tenun yang menjadi pakaian utama kaum asli Tengger), kami juga beli t-shirt dan post card.
  
 
 
Gunung Bromo:
Bromo memang terkenal di dunia, kerap dikunjungi oleh pelancong2 barat, ianya sebahagian daripada Taman Negara Bromo-Tengger-Semeru. Gunung berapi yang masih aktif ini berada diketinggian  2392 meter dari aras laut dan dikelilingi lautan pasir seluas 10 kilometer persegi. Gunung Bromo mempunyai kawah yang besar dan dalam, keluasanya ialah 600 meter timur ke barat dan 800 meter utara - selatan. Gunung Bromo terletak di provinsi Jawa Timur dan berada di empat wilayah pemerintahan iaitu Kabupaten Probolinggo, Malang, Lumajang dan Pasuruan. Gunung Bromo dihuni oleh kaum Tengger yang beragama Hindu, kononnya mereka berasal dari kerajaan Majapahit yang mengasingkan diri. Setiap bulan oktober sewaktu bulan terang mengambang iaitu pada hari ke 14 dan 15 , mereka mengadakan upacara kosodo bermula dari tengah malam sehingga dinihari.

Setelah bersiap2 pada jam 3.45 ptg kami memulakan perjalanan ke kawah gunung berapi Bromo. Kami membawa sebotol air mineral sebagai bekalan . Dari hotel Bromo Permai kelihatan begitu jelas gunung Bromo, dan nampak begitu hampir  tetapi sebenarnya  agak jauh juga lebih kurang 3km. Untuk ke kawah Bromo, kami perlu merentasi lautan pasir yang mengelilingi puncak Bromo dan puncak Batok. Panjang garis pusat lautan pasir ini lebih kurang 8km. Mengharungi lautan pasir ini bukannya mudah, perlukan ketabahan dan keazaman serta keberanian. Pergerakan kami agak lambat kerana kaki kami asyik terperosok ke dalam pasir. Akhirnya kami sampai juga di kaki puncak Bromo, di situ terdapat kerja2 membina sebuah pura, untuk sampai ke Puncak, kami perlu menaiki 250 mata tangga.


I
 
 
 
 
 
 
nilah topi dan sarung kaki yang saya beli di kedai cenderamata tadi. Ketika ini kami masih berada di persekitaran hotel Bromo Permai.


Ketika ini kami sedang mengharungi lautan pasir, penat, berehat sebentar.
 
 
 
Kami menaiki tangga, lebih kurang 250 mata tangga untuk sampai ke bibir kawah Bromo
 




 Pada jam 4.45 ptg kami sampai di puncak Bromo kelihatan begitu jelas kawah gunung berapi, suasana ketika itu begitu sunyi dan hening kerana para pelancong telah balik ke hotel, yang kelihatan cuma tiga orang tempatan kaum Tengger yang sedang mencari duit di lereng dalam kawah, iaitu duit yang dibaling oleh para pelancong.

 


Dari bibir kawah, sayup mata memandang ke dalam kawah yang sebahagiannya berasap, sebahagian lagi mengeluarkan belerang yang berwarna kuning dan sebahagiannya mengeluarkan api yang bersemarak. Bau belerang mesusuk ke hidung, angin bertiup kencang, udara semakin dingin, debu pasir terbang berputaran ditiub angin.



Hari semakin gelap , cahaya api merah  di dalam kawah semakin bersemarak serta mengeluarkan bunyi yang menggerunkan bila ditiup angin kencang. Setiap kali merenung lubang kawah yang dalam itu, hati menjadi kecut bercampur gerun.



Menurut orang Tengger di situ, ada orang turun hingga ke dasar kawah. Memang betul kerana terdapat bermacam tulisan di permukaan dasar kawah. Untuk turun ke dasar kawah mengambil masa selama 1 jam.  Pernah seorang pelancong Jerman terjatuh di lereng kawah tapi dapat diselamatkan.





Di sebelah kanan Gunung Bromo adalah  Gunung Batok ( Batok adalah bahasa jawa bermaksud tempurung) yang mempunyai bentuk seperti tempurung.



Jam menunjukkan pukul 5.30 ptg, senja hampir tiba, kami berehat2 sebentar untuk menyaksikan matahari terbenam. Menurut orang Tengger Gunung Bromo mempunyai penunggu, setiap tahun diadakan majlis melantik bomoh bagi mengawal keamanan kawasan ini, upacara ini akan diadakah pada 20 Nov 1994.




Entah kenapa tiba2 rasa takut menghantui fikiran dan perasaan, kami langsung menuruni tangga untuk meninggalkan gunung Bromo secepat mungkin.




Sekali lagi kami mengharungi lautan pasir untuk pulang ke hotel. Dalam perjalanan aku menyanyi bagi menghilangkan rasa takut. Keadaan sekeliling gelap tetapi jalan yang kami lalui kelihatan terang seolah2 ada cahaya yang menyuluh dari arah belakang. Aku menoleh kebelakang beberapa kali tapi yang kelihatan cuma Gunung Bromo dan Gunung Batok yang tersergam.


Akhirnya kami sampai di penghujung lautan pasir, kami perlu mendaki bukit lebih kurang setengah km untuk sampai ke hotel. Aku sempat menoleh ke arah Bromo, tiba2 ternampak sebiji bebola api terbang menjunam masuk ke dalam kawah Bromo, tiba2 saja aku rasa seram! Menurut pekerja hotel bebola api itu adalah penunggu Gunung Batok masuk ke Gunung Bromo. Perkara seperti ini kerap dialami oleh pelancong2 di waktu senja.




Sampai di kawasan hotel, penat kami tidak dapat diceritakan dengan kata2. Terlepok sekejap di hadapan restoran hotel. 
 
 
Walaupun letih masih boleh posing lagi

 Sampai sahaja di chalet, minuman teh telah dihidangkan oleh pihak hotel, kami minum sambil merehatkan diri, lepas mandi kami terus terlelap. Jam 9.00 malam kami terjaga, rasa lapar dan terus ke restoran hotel untuk makan malam. Kami tidur awal kerana esok jam 4.00 pagi kami akan ke Gunung Pananjakan untuk menyaksikan matahari terbit.

Keindahan matahari terbit di Gunung Pananjakan:

Kami  bangun tepat pada waktunya dan bersiap2 untuk ke Gunung Pananjakan melihat matahari terbit.


Macam orang mamai! sedang enak tidur dikejutkan.





 
Kami terus ke restoran hotel , di situ telah ramai pelancong barat menunggu. Hawa dingin amat terasa menusuk2 hingga ke tulang sehingga menggeletar seluruh badan, aku menutup seluruh tubuhku dengan kain selimut yang baru dibeli petang tadi, kelihatan aku juga seperti orang Tengger.


Jeep yang telah kami tempah untuk ke Gunung Pananjakkan dengan bayaran Rp 40,000 telah sedia menunggu. Pemandu jeep adalah orang Tengger, iaitu penduduk asli tempat ini dan mereka adalah penganut agama Hindu. 



Perjalanan ke Gunung Pananjakkan mengambil masa selama 20 minit. Apabila sampai di kaki gunung, kami memanjat tangga yang berjumlah 192 mata tangga.





Kini kami telah berada di check point untuk melihat matahari terbit, kesejukkan semakin menusuk2, bayang matahari belum lagi kelihatan, pemandu kami menyatakan bahawa pada jam 5.10 baru boleh nampak matahari, katanya lagi kawasan ini diliputi salji setebal 5mm dalam bulan Jun, Julai dan Ogos.




 
Akhirnya saat2 yang dinantikan tiba apabila matahari tampil sedikit demi sedikit, bunyi bising para pelancong tadi tidak kedengaran lagi, suasana begitu sepi, yang kedengaran cuma bunyi klik2 kamera.



Saya juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil foto seberapa banyak yang boleh. Keseluruhan alam Bromo ketika itu bertukar wajah dari gelap kelam bertukar warna keemasan.




Seiras Kajol atau Tengger!


Kajol & Shah Rukh Khan




Subhanallah, cantiknya!
 

Matahari hampir memperlihatkan keseluruhan wajahnya
 
 
Warna keemasan semakin berkurangan


Para pelancung mula beredar meninggalkan Pananjakan view point,
 



Awan ibarat selendang sutera nipis menyelimuti puncak Bromo dan Semeru



Selamat tinggal Gunung Pananjakan!

Jam 6.00 pagi, kami sampai semula di hotel untuk sarapan pagi, check out pada pukul 7.00pagi, dengan menaiki angkotan kami turun meninggalkan Bromo menuju Terminal Bas Probolinggo untuk  ke Bali. Angkotan kami berhenti lebih kurang 10 minit di toko berhampiran, tidak jauh daripada Hotel Bromo Permai, menanti sekiranya ada lagi penumpang untuk turun ke Proboinggo.











 
Di luar kelihatan orang Tengger sedang mencari pelancong yang ingin menyewa kuda untuk ke kawah Bromo, kelihatan juga dua orang pelancong barat menaiki kuda yang ditarik oleh orang Tengger menuju ke kawah Bromo.


Wanita Tengger sedang berbuat sesuatu di ruang hadapan rumahnya



Perjalanan turun membosankan kerana Angkotan berhenti dibanyak tempat sehingga mengambil masa selama 3 jam untuk sampai ke Terminal Bas Probolinggo. Nasib kami baik, sampai sahaja di Terminal Bas, sebuah bas eksekutif  ke Denpasar telah sedia menunggu, cuma ada 2 kerusi yang masih kosong, memang betul2 rezeki kami.  Setelah membeli tiket dengan bayaran Rp25,000 seorang kami berkejar2 menaiki bas dan bas terus meluncur menuju destinasi.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan